Sekiranya kejayaan sebuah hubungan dikira melalui kekerapan perjumpaan , pastinya aku akan gagal dalam perhubungan ini kerana pertemuan kami boleh dibilang dengan jari .Sekiranya kebahagiaan sebuah percintaan diukur dengan jumlah jam yang diperuntukkan untuk berkomunikasi, pasti cinta kami berderai kerana komunikasi hanya akan terjadi untuk perbincangan majlis penting kami. Sekiranya nilai perkahwinan diukur dengan hubungan yang mampu bertahan lama sebelum diijabkabulkan, maka nilainya tidak setinggi mana kerana pertemuan kami dijodohkan keluarga.
Aku bukanlah tinggi ilmu hingga bisa mentafsirkan soal urusan takdir. Yang aku tahu hanya hukum ALLAH yang boleh aku aplikasikan serba sedikit. Lebih indah andai perjumpaan, komunikasi dan nilai perkahwinan kami tinggi di sisi ALLAh bukan tinggi di samping Syaitan. Bukan sempurna diriku ini untuk bicara soal hukum hakam hidup berpasangan.Aku juga pernah terjerumus, hidup terpedaya dengan godaan syaitan. Godaan yang membawa aku pada Zina Kecil.Waktu itu, aku pasti tiada salahnya.Sebab aku selalu kata ."Bukan buat apa-apa pun , kami Cuma berborak je".
Berborak memang tidak mendatangkan apa-apa tetapi yang berada di samping aku itu? Yang berada di tengah antara kami? Syaitan men'tarbiah' ketika kami sedang berborak. Semasa berborak kononnya tenteram jiwa, namun jiwa kita diharu birukan apabila berjauhan.Men'didik' kita semakin memuja kekasih tetapi menjauhi ALLAH.
Seberapa pasti aku pada pilihan yang telah ditentukan. Soalan yang kerap kali diajukan acap kali aku menyampaikan berita bahawa aku bakal melangsungkan perkahwinan dengan pilihan ibubapa. Mudah-mudahan aku dapat tetapkan pendirian aku hingga ke akhirnya . Aku bukan seperti dulu lagi, yang rasa macam 'meroyan' kalau sehari tiada khabar berita dari sana.Kini aku lebih tenang serta tenteram tiada rasa jiwa kacau. Sehinggakan ibu sendiri risau dengan cara hubungan aku dan si dia.
Pernah aku ajukan soalan kepada seorang teman rapat yang selalu aku jadikan rujukan di kala aku kurang yakin dengan jawapan yang aku ada. Jawapannya sangat memuaskan dan menambahkan lagi keyakinan aku. Bicaranya penuh tertib menasihati supaya aku teruskan mengikut syariat dan binalah hubungan erat selepas berkahwin kelak. Alhamdulillah ..aku temui jawapan pada nilai satu hubungan. Halal di sisi agama dan mententeramkan jiwa.